Tarian singa yang memang sinonim dengan masyarakat Cina tidak dapat dipisahkan dengan pesta atau sebarang acara keraian sebagai simbolik yang dipercayai dapat membawa tuah kepada ahli keluarga atau pemilik organisasi selain menjadi hiburan serta menambah kemeriahan suasana. Suasana di perkarangan AnCasa Hotel & Spa, Kuala Lumpur pada hari ini gamat dan meriah sebaik paluan gendang, gong dan simbal bergema semasa persembahan kebudayaan tarian singa dari Persatuan Tarian Singa Dan Naga Kun Seng Keng, Kuala Lumpur bersempena sambutan Tahun Baharu Cina.
Merupakan acara tahunan bagi AnCasa Hotel & Spa, Kuala Lumpur mengadakan persembahan tarian singa setiap tahun sebagai simbolik kepercayaan masyarakat Tionghua di negara ini yang dikatakan mampu membawa tuah.
Acara ini bermula pada pukul 3 petang dan ternyata, ia telah ‘mengejutkan’ pengunjung di sekitar hotel ini. Masyarakat Malaysia yang sudah biasa melihat malah teruja apatah lagi pelancong luar yang turut terpaku melihat kelincahan aksi penari yang mengenakan kostum singa berwarna putih dan ungu bergerak ke sana sini. Dalam persembahan itu, Persatuan Tarian Singa Dan Naga Kun Seng Keng, Kuala Lumpur telah berjaya memukau pengunjung dan orang ramai yang berada di sekitar hotel berkenaan dengan pelbagai aksi akrobatik.
Dua ekor ‘singa’ mengganas di perkarangan, ruang lobi hotel dan dibawa mengelilingi hampir keseluruhan bahagian hotel dan menyebabkan pengunjung terpegun dan tidak mampu ‘melarikan diri’. Kejutan sempena Tahun Baru Cina itu merupakan penghargaan yang dibuat oleh pihak pengurusan hotel bagi bersama-sama memeriahkan sambutan perayaan berkenaan di kalangan orang ramai dan pengunjung hotel berkenaan.
Dengan paluan gendang, gong, simbal dan irama berentak suspen, kumpulan ini berjaya melonjak pada satu tahap ketinggian untuk mencapai sayur salad dan angpau yang digantung pada siling pintu masuk ke lobi dan beberapa bahagian pejabat di dalam hotel.
Di akhir persembahan itu, salah seekor dari ‘singa’ berkenaan telah menyerahkan buah-buahan kepada Naib Timbalan Presiden Bahagian Hospitaliti, Encik Shah Azam Khan dan staf pengurusan yang lain sebagai simbolik sambutan Tahun Baru Cina.
Para jemputan dan staf pengurusan AnCasa Hotel & Spa, Kuala Lumpur bersama-sama menggaul ‘yee sang’ sebagai simbolik kepada kesejahteraan, kekayaan dan rahmat.
Nice event.
LikeLike