I am what I am……..
Cameron Highlands, 13.12.2017 – Program khas anjuran oleh Majlis Pelancongan Malaysia (MTC) dengan sokongan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan (MOTAC) dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) untuk mempromosikan destinasi agro pelancongan domestik seterusnya iaitu MARDI Cameron Highlands.
Taman Agroteknologi Mardi merupakan tempat tarikan utama para pelancong di Cameron Highlands. Lokasinya memudahkan para pengunjung untuk sampai ke taman ini. Hanya 500 meter dari Bandar Tanah Rata.
Cuaca yang sederhana, tanah subur dan hujan mencukupi dengan suhu dingin mencecah 14 hingga 24 darjah celsius menjadikan lokasi ini ibarat syurga bagi tumbuhan seperti sayur, buah-buahan dan bunga-bungaan.
Sejarah kedatangan Inggeris pula turut menyemarakkan lagi kemajuan dan perkembangan industri pelancongan, maka tidak hairanlah mengapa Cameron Highlands menjadi kawasan agro pelancongan negara yang paling terkemuka.
Sejarah Ringkas Mengenai Taman Agroteknologi Mardi, Cameron Highlands
Berdasarkan sejarah, Taman Agroteknologi Mardi ini terletak hanya kira-kira 700 meter dari Bandar Tanah Rata yang berkeluasan kira-kira 40 hektar dan merupakan Stesen Penyelidikan Persekutuan yang dibangunkan oleh Kerajaan British pada 1925. Sebab itu terdapat rumah penginapan berbentuk ‘English Cottage’ yang menarik dan terus dibaikpulih.
MARDI sebenarnya mengambil alih taman tersebut pada 1972 dijadikan pusat aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D), aktiviti pemindahan dan pengkomersialan teknologi .
Taklimat Taman Agroteknologi Mardi
Pengurus Stesen MARDI berkata,’stesen ini bukan sahaja sebuah stesen penyelidikan pertanian tanah tinggi yang terunggul malahan kini ia semakin meraih perhatian pelancong dari dalam dan luar negara.
Tambahnya lagi, walaupun Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) mempunyai stesen-stesen penyelidikannya di serata negeri tetapi yang di Cameron Highlands memiliki keunikannya yang tersendiri.
Menyedari potensi ini ia memudahkan penyebaran teknologi terkini kepada masyarakat, MARDI telah mengambil langkah-langkah untuk membangunkan kembali landskap persekitaran stesen berkenaan dengan konsep Inggeris, sesuai dengan konsep pembangunan Cameron Highlands.
Antara tarikan yang terdapat di stesen ini ialah taman dan kediaman berunsur Inggeris, taman ros, aktiviti penyelidikan, kilang teh tertua di negara ini dan koleksi pokok hawa sederhana, yang tidak dijumpai di mana-mana dalam negeri.
Selain itu kedudukannya yang strategik iaitu dalam pekan Tanah Rata, yang senang dihubungi menjadikannya destinasi yang mesti dilawati oleh pengunjung ke Cameron Highlands sama ada pertama kali atau ulangkali.
Harga Tiket Masuk
- RM 5.00 untuk dewasa (berumur 17 tahun ke atas)
- RM 2.00 untuk kanak-kanak (berumur 7 tahun hingga 17 tahun)
- RM 120.00 untuk pakej bas dewasa (berumur 17 tahun ke atas)
- RM 60.00untuk pakej bas sekolah (berumur 7 tahun hingga 17 tahun)
Terdapat 10 buah taman di Taman Agroteknologi MARDI Cameron Highlands yang Mamable lawati iaitu:
- Taman Inggeris
- Laman Herba
- Taman Mini Cameron
- Edible Garden
- Taman Ros
- Plot Strawberri
- Muzium Teh
- Plot Anggur
- Plot Fertigasi
- Plot sayur-sayuran
Taman Inggeris
Taman Inggeris antara yang menggamit pengunjung dengan dihiasi landskap yang menarik seperti bunga dahlia, camellia, lily petunia, medinella begonia dan liatris. Mamable tertarik dengan konsep pembangunannya yang mementingkan kesegaran dan suasana yang nyaman termasuk penggunaan elemen pancutan air dan kolam. Lokasi ini menjadi pilihan penggambaran drama Dendam Aurora.
Replika seperti keretapi dan wagon yang diperbuat daripada kayu merupakan hasil kerja kayu kakitangan Mardi tersebut.

Bunganya berjuraian dari struktur yang dibina khas dengan bermacam bentuk dan cirinya.
Salah satu bentuk bunga yang menarik di sini ialah lady shoes yang batangnya melilit mengikut arah putaran jam.
Lawat, Petik Dan Makan Strawberi
Di ladang contoh tanaman strawberi ini, anda boleh petik dari pokok strawberi itu sendiri. Atau anda juga boleh membeli sahaja strawberi bersalut coklat di pusat jualan yang terdapat di situ.
Taman Edible
Taman dapur atau juga dikenali taman edible ini dihiasi dengan tanaman makanan yang bukan asing bagi kita. Cuma reka bentuk taman yang menggabungkan tanaman berbuah seperti tomato, cili dan tanaman yang berbunga seperti sawi, kubis dan salad yang kebanyakannya berwarna hijau dan diserikan dengan pokok ulaman seperti kesum dan pegaga serta tanaman lain seperti lobak juga mempesonakan.
Menurut Encik Azman Mohd Saad,’Sesuai dengan peranan MARDI membangunkan teknologi pertanian, petak sayuran komersial diwujudkan dan nyata ia berbaloi bagi mereka yang minat menanam sayur’.
Taman Agroteknologi ini mempunyai ladang contoh bagi tanaman strawberi, tomato, serta tumbuhan dengan pelbagai kaedah penanaman tanpa tanah, pertanian bertingkat, menegak, green kit serta ferti kit.
Taman Herba
Taman herba juga menarik untuk dikunjungi apatah lagi kawasan sejuk begini, tentu seronok melihat bagaimana tanaman herba tropika seperti pudina, rosemary, oregano dan basil hidup dalam cuaca sejuk.
Test Bed – Strawberi Dan Tomato
Dengan tema Pusat Pertanian Lestari, taman tersebut menjanjikan lebih dari sekadar taman pertanian, sebaliknya sebagai pusat pembelajaran, pendidikan dan agro pelancongan. Keistimewaan dan keunikan stesen ini telah berjaya menarik pelbagai kategori pengunjung daripada pelajar hinggalah saintis, usahawan dan kepada yang hanya ingin beristirahat. Tidak ketinggalan juga ialah para petani yang ingin mendapatkan khidmat nasihat dan kepakaran para pakar dan penyelidik MARDI.
Info Agro-Technology Park Mardi Cameron Highlands :
JKR266, Jalan Persiaran Endah, Tanah Rata, Pahang, 39000 Tanah Rata
Hubungi 05-491 1255
Tutup Isnin (kecuali cuti sekolah/umum)
Setiap Hari : 9pg – 5 ptg
* Tutup untuk rehat 12:45 – 2 ptg, kecuali cuti sekolah/umum